September 2008


Yang menyalakan kekuatan. Tak semua yang menjadi guru mahu menjadi guru, namun ramai juga yang lahir sebagai guru!

Buku ini sudah lama ku baca, setelah diperkenalkan oleh abunaeim. Kupasan Ustaz Azizi terhadap persoalan rakyat amat memukau. Dari novel Seorang Tua Di Kaki Gunung sehingga Harga Sebuah Maruah memang memikat.

Novel ini yang berlatar Kerpan sebuah daerah di Negeri Kedah yang amat mendamaikan. Kisah tentang sebuah keluarga 2 beranak..seorang ibu tua dan seorang anak kurang cerdik yang tiba-tiba bertindak lebih cerdik dari orang kampung yang lain. Kecintaan keluarga ini kepada tanah bendang yang mereka miliki amat menarik. Mereka berdua berhemapas pulas membela hak mereka terhadap tanah yang mereka miliki yang mahu dirampas untuk dijadikan kolam udang. Novel ini telah diangkat dalam Syembara Novel 50 Tahun DBP di tempat ke dua.

Nah! baca sendiri ya. Pasti lebih menarik!

 

Judul: Harga Sebuah Maruah

Harga: RM 25.00

Penulis: Hj Azizi b. Abdullah

Terbitan: DBP

 

   
   

Menegur bukan bererti benci. Puji-pujian tidak mengeyangkan, namun manusia ramai yang mengemarinya. kritikan tidak pula menyebabkan kematian namun ramai manusia mengamuk, melompat-lompat dan tidak kurang yang membalas kritikan apabila dikritik. Itulah namanya manusia.

Melihat gelagat panglima berpencak di atas pentas, tentu sekali  mengujakan. Namun adakalanya panglima juga salah bepencak. Pasti ada bunga silat yang sumbang…walaupun panglima segak dengan keris dan tengkolok.

Betapa hebat aku temui peribadi yang cukup merendah diri. keluar dari mulutnya hanya puji-pujian pada yang maha Esa. Bahasa jelek mengangkat diri di jauhi sama sekali. Dialog “mak saya, anak saya, ayah saya, ana kan syeh…..” tidak langsung dituturkan. Betapa hebat insan apabila akhlak yang menjadi perhiasan diri bukan berasa hebat hingga memperlekehkan orang lain.

2 watak sang guru yang aku temui minggu ini. Benar-benar menginsafkan. Manusia tidak boleh lupa untuk lihat di bawah kala berada di atas, takut nanti bila jatuh orang di bawah buat-buat tak nampak lalu dipijaknya!

Aku masih belum pecaya. Betapa aku sudah setahun meninggalkan sebuah dunia paling ku cinta: PENDIDIKAN. Entah kenapa begitu berani aku mengambil keputusan se-nekad itu untuk meninggalkan dunia yang penuh warna warni ibarat kata Awang Had Salleh dalam bukunya Warna Warni Pengalaman Seorang Guru.

Kala teman-teman yang lain masih istiqamah dengan ilmu, tawaduk dengan buku, iltizam dengan tarbiyyah aku seorang diri merasakan kekosongan. Kadang kala rasa cemburu datang bertubi-tubi di tambah dengan sedikit rencah PENYESALAN atas keputusan yang ku ambil itu. Ya, aku tahu di dunia itu amat memilukan. Penuh dengan dugaan dan Sarat dengan cabaran. Tapi di sanalah aku mengenal erti hidup, kenal erti ukhuwah, Saat ramai meraba dalam terang mencari erti hidup, aku temui insan-insan besar yang berjiwa besar biarpun bekalnya hanya semangat! Aku dapat rasakan keikhlasan rakan-rakan bekorban untuk perjuangan. Terlampau indah!

Mungkin ada kalanya aku dan rakan-rakan mengeluh, penat, letih mungkin juga jemu dengan pelbagai karenah anak-anak murid, tapi setelah setahun ku tinggalkan dunia itu, baru ku tahu itulah yang amat menyenangkan! Seakan-akan aku terdengar kembali rintih sahabat guru yang kekurangan wang, gaji yang diterima terlampau kecil. Ada yang terkejut kala ku beritahu gaji ku dengan ungkapan “Anta ni dalam kelompok bawah garis kemiskinan!” Aku tersenyum puas. Kerana aku tahu ramai kawan-kawanku yang bergaji besar tidak pernah puas dengan apa yang mereka miliki. Aku pasrah dan redha dengan ketentuan Allah yang meletakan aku di jalan itu dulu. Aku sedar ada yang lebih susah dari aku saat itu. Tidak pula hingga aku perlu jadi pengemis.  

Ya, saat ini aku amat rindu pada jadual waktu mengajarku, pada meja di bilik guru, pada usikkan nakal teman-teman sebilik guru, pada perangai yang pelbagai anak-anak muridku…ahhhh semuanya terlampau indah untuk dikenang. Aku pasti saat ini juga teman-teman yang pernah mengharungi kehidupan penuh berliku di Sek. Men. Islam Ad Diniah pasti pilu mengenangkan semula semua itu. Aku tahu mereka juga payah meninggalkan dunia itu. Aku tahu Nizam, anta juga pasti rindu kembali ke kelas mengajar anak bangsa. Aku tahu Zayd, anta juga pasti rindu pada riuh rendah kelas yang anta ajar sehingga guru kelas sebelah terpaksa menenangkan kelas yang anta ajar, Aku tahu Abg Rezal pasti masih ingat saat indah menegur dan menasihati anak murid kita bersama di perhimpunan pagi.

Maaf aku terlampau emosi saat ini. Aku tak dapat menahan perasaan untuk kembali ke dunia pendidikan yang penuh cabaran itu. Di sana aku tenang, tidak perlu pening dengan karenah badut-badut yang liar menganalisa biarpun aku susah.  Di sana aku dapat rasakan betapa eratnya persahabatan, ukhuwah terjalin ikhlas tanpa perlu dipaksa-paksa. Bersahabat kerana Allah bukan kerana punya kepentingan. Di sana aku tak perlu melihat wajah manusia bermuka-muka, di sana tidak ada sepak terajang politik yang amat memualkan!    

Setahun yang pedih aku tinggalkan dunia pendidikan. Semestinya aku rindu pada ungkapan CIKGU itu. Semua tahu saat aku menyampaikan ucapan terakhir bergelar guru, air mata ku tahan agar jangan mengalir. Aku tahu ramai rakan-rakan yang tidak bersetuju ketika itu…aku sedar sahabat, maafkan aku atas kegelojohan itu.

Untuk menyesal dan mengkhabarkan pada seluruh dunia bahawa aku menyesal dengan tindakan aku itu….bukanlah aku sebenarnya. Aku juga pasrah di dunia baru. Masih ada insan-insan ikhlas berjuang tanpa mengharap sebarang laba dan keuntungan biarpun bilangannya tidak sebesar di dunia pendidikan ku. Aku juga bersyukur, kalau tidak aku tidak tahu membezakan watak murabbi yang ikhlas dan yang hanya memikirkan untung rugi pada kiraan ringgit semata-mata. Aku juga belajar sesuatu.

Sang Murabbi yang amat besar ertinya.

Selamat datang Ramadhan. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya. amin