November 2009


eksklusif Tujuh ilmuan Islam yang tidak diberikan tauliah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) beberapa bulan lalu dipercayai kerana mereka disyaki membawa aliran Wahabi dan dekat dengan Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Penolakan terhadap permohonan ketujuh-tujuh mereka, selepas diwawancara sebelum bulan Ramadhan lalu, bagaimanapun tidak menyatakan sebarang alasan.

Malaysiakini difahamkan soalan-soalan tiga pegawai Jais yang menemuduga mereka menjurus kepada usaha menyelidik sikap mereka terhadap beberapa isu fekah dan akidah yang boleh dikaitkan dengan aliran Wahabi.

Soalan-soalan itu, antaranya, isu lafaz niat sembahyang, marhaban dibolehkan atau tidak, aliran teologi Ash-Shaari dan perdebatan isu 13 sifat-sifat Allah yang menjadi pengetahuan umum penganut Ahlus Sunnah Wal Jama’ah.

Ketujuh-tujuh diwawancara pada hari yang sama setelah permohonan mereka untuk mendapatkan tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) disokong ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.

Menurutnya, pada 19 Ogos lalu, Jais mengeluarkan surat menolak permohonan tauliah mengajar atau berceramah kepada tujuh pemohon ini.

Dalam persidangan DUN Selangor semalam, wakil rakyat PAS itu mendedahkan nama tujuh penceramah agama tersebut, yang dipercayai daripada aliran pemikiran agama yang sama, seperti berikut:

Fathul Bari Mat Jahya – kelulusan BA Hadis (Universiti Madinah), MA (Universiti Yarmouk, Jordan), sedang menamatkan PhD di Universiti Islam Antarabangsa (UIA)

Mohd Khairi Anwar Abdul Latif – BA al-Quran dan Sunnah (UIA), MA Hadis (UIA), bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa

Abdul Razak Mutalib – BA Usul Fiqh (UIA), MA Hadis, bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa

Muzairi Mustafa – BA Tafsir, Usul dan Dakwah (Al-Azhar, Kaherah), sedang menuntut di peringkat sarjana

Fathlan Mohd Osman – BA Dakwah, MA Tafsir (UKM), sedang menyiapkan PhD Hadis di UIA

Dr Azwira Abd Aziz – BA (Univeristi Madianah) MA (Univeristi Madianah), PhD (Universiti Jordan), ketua Jabatan Al-Quran dan Sunnah UKM

Mohd Roesfan Sazzerin Mohamad Sufi – BA Hadis, Diploma Dakwah (Universiti Madinah), MA Hadis (UIA)

Fathul Bari, anak bekas mufti Perlis Datuk Mat Jahya Hussin, dan Dr Azwira, ahli Majlis Fatwa Perlis yang pernah dicalonkan untuk memegang jawatan mufti negeri itu, dikenali rapat dengan Dr Mohd Asri.

Bekas mufti Perlis yang kontroversi itu sering dikaitkan dengan aliran Wahabi walaupun beliau berkali-kali menafikannya.

Penangkapannya awal bulan ini, dan pendakwaannya di mahkamah minggu depan, atas kesalahan mengajar tanpa tauliah turut membangkitkan semula isu Wahabi.

Advertisement

Jarang saya menerbitkan artikel orang di blog ini… Kecuali kes tertentu seperti di minta. Tapi Kali ini saya rasa Ada rasionalnya untuk saya terbitkan artikel ini sekalipun penulisnya bukanlah saya setuju sangat. Tapi Ada nilai yang terakam kemas Dari artikel ini. Sesuatu yang akan Kita rasa dalamnya ingatan.

Lama saya berada di hadapan komputer ini, memikir untuk menulis entri ini. Akhirnya saya memutuskan untuk menulisnya, dan kemudian lama pula saya memikirkan samada perlu untuk menerbitkannya. Dan kerana tuan-tuan dapat membacanya, ia bermakna saya memutuskan untuk menerbitkannya.

Saya manusia biasa. Jadi ada lintasan hati.

Saya masih ingat pada hari seorang penulis muda bernama Khairun Nasriah memberitahu saya yang Mufti Perlis (sekarang bekas), Dr Mohd Asri Zainal Abidin ‘menuduh’ saya syiah. Bingung sekejap saya. Kerana serta merta nostalgia saya di Kolej Islam Kelang (sekarang KISAS) kembali. Beliau antara naqib yang saya kagumi. Malah saya pernah mengekornya ke Taman Melewar untuk berusrah secara rahsia dengan Ustaz Yahya Othman, Ustaz Yaacob Hussain dan ramai lagi. Dalam hati saya memikir, masakan ustaz Asri serkap jarang seperti ini. Apatah lagi keluarga isterinya mengenal ibu bapa saya selaku aktivis sebuah parti di Melaka.

Akan tetapi bila saya dihubungi oleh ‘seorang syed’ menerusi telefon yang mengesahkan khabar yang dibawa oleh Khairun Nasriah tersebut, hati saya serta merta berasa kecewa. Syed tersebut memberitahu yang beliau ingin menyaman ustaz Asri kerana ustaz tersebut dikatakan ‘menghina’ keturunan para syed dan syarifah di negara ini. Saya hanya mendengar. Kemudian, syed yang saya tidak pernah temui itu mengutus emel, berserta klip video, rakaman ceramah Dr Asri menuduh saya syiah di sebuah masjid dalam satu kuliah maghrib di Perlis.

Saya masih menyimpan klip video tersebut sampai sekarang.

Vonnis in absentia. Saya dihukum tanpa dapat membela diri. Dan serta merta tuduhan itu merebak menjadi dakwaan yang diyakini benar ramai orang. Termasuklah ramai teman-teman di Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya bahkan diberitahu yang tuduhan itu bukan sekali, tetapi dibuat berkali-kali di banyak tempat. Bukti-bukti lain dibawa oleh orang. Saya malah dihubungi sekian peguam yang berasa bakal dapat membuat untung besar jika saya memilih untuk menyamannya.

Ia diburukkan apabila Malaysiakini pula ikut memanjangkan perkara.

Waktu itu saya berasa amat keseorangan. Saya memilih untuk mendiamkan diri. Kadang-kala saya terpekik seorang diri di blog ini membela diri.

Saya betul-betul rasa keseorangan.

Ketupat Cinta di Harian Metro dihentikan. Seorang pegawai tinggi Dewan Bahasa dan Pustaka mengumumkan supaya nama saya digam dari semua aktiviti Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tuduhan Dr Asri tersebut merebak menimpa keluarga saya. Dia terlupa saya ada ahli keluarga. Seperti orang lain, saya punya adik beradik dan ibu bapa. Maka bapa saya seorang aktivis parti pembangkang sering menjadi sasaran kecaman teman-temannya. Ibu saya juga begitu. Juga adik saya yang tidak tahu menahu apa-apa.

Lama sebelum Dr Asri menuduh saya seorang syiah. Saya sudah membaca buku-buku karangan Za’ba yang meminta kita membebaskan diri dari mazhab (Insya-Allah dalam sebuah seminar di sebuah IPT awam pertengahan November ini saya akan membentangkan makalah mengenainya). Buku-buku za’ba tersebut terbitan DBP. Dan saya memuliakan Zaba seperti mana saya memuliakan karya-karya Malek Ben Nabi dan Ali Syariati.

Sayang, saya dituduh dan tidak diberi peluang membela diri.

Ketika tuduhan itu dibuat, dan saya menonton klip video Dr Asri menuduh saya secara semberono, terlintas di hati saya, ya; satu lintasan hati supaya satu hari nanti Dr Asri dapat mengecap dan merasai apa yang saya rasai waktu itu. Tetapi ada suara lain memadam lintasan hati tersebut dengan mengatakan, tidak mungkin beliau akan merasa apa yang saya rasa kerana beliau seorang tokoh besar, ada pengikut dan dokongan institusi. Beliau dipuncak populariti dan kuasa.

Tidak pernah dalam sejarah kesusasteraan tanahair seorang mufti menuduh karya seorang sasterawan sebagai ‘sesat’. Saya merasa itu semua. Jika saudara tidak merasa ia tidak serius tidak apa. Tetapi saya sempat merasa hidup dipandang serong oleh orang kerana yang “menfatwakan saya sesat” bukan calang-calang orang. Ada karya saya yang menang hadiah ditarik balik kerana tuduhan ini. Dan saya seorang diri. Tiada Pena. Tiada Gapena. Tiada Kelab MPR. Tiada kawan-kawan di DBP, termasuk yang mengaku kawan sampai mati di Bahagian Majalah. Tiada. Nihil.

Hari ini, ketika saya bangun pagi, setelah pulang dari bercuti melangsungkan perkahwinan; saya membaca berita-berita Dr Asri mempertahankan dirinya bukan wahabi, isu perlantikannya di YADIM, dan paling menggemparkan berita penahanan beliau oleh pegawai JAIS.

Entah mengapa saya terkenang semula lintasan hati saya lama dulu. Dan saya membuka semula klip video tersebut. Menontonnya beberapa kali. Dan lintasan hati saya yang pernah disertai selawat itu dahulu kembali muncul terjelma dalam benak dan jiwa saya.

Saya tidak mahu mengatakan saya gembira terhadap apa yang menimpa Dr Asri. Beliau pernah menjadi naqib usrah saya di KISAS. Banyak ilmu yang saya perolehi daripada beliau. Tetapi ketidakadilan vonnis in absentia yang menimpa saya kini menjadi kitaran buat beliau.

Saya ingin menegaskan, saya membantah sebarang usaha mengharamkan satu-satu aliran yang tidak terkeluar dari al-Quran dan sunnah. Baik ia wahabi, salafi, syiah ataupun tarekat yang benar. Setiap aliran tersebut adalah gagasan. Ia adalah teori. Setiap sekolah pemikiran tidak boleh diharamkan dan dihalang sedemikian rupa. Ia hanya boleh dilawan dan dibantah dengan teori dan gagasan lain pula. Ia mesti diperdebatkan secara akademia. Jika ia (aliran tersebut) ditakdirkan ‘kalah’ maka ia akan mati dan luput begitu sahaja seperti yang telah menimpa sekolah pemikiran Muktazilah, Jabariyyah, Qadiriyyah dan Ibadi. Jadi, saya ingin mengatakan saya tidak seronok dengan apa yang menimpa Dr Asri hari ini. Ia adalah petanda buruk untuk perbahasan ilmu yang sihat.

Saya keseorangan ketika Dr Asri menuduh saya tanpa bukti satu masa dahulu. Beliau lebih bernasib baik, dibela oleh Perdana Menteri dan sekian ramai ahli politik serta kumpulan NGO (termasuk pendokong Islam Liberal seperti Marina Mahathir: lihat sini).

Saya cuma ingin mengatakan dalam entri ini tentang lintasan hati. Saya tidak pernah terfikir lintasan hati diiring selawat tersebut akan menjadi kenyataan. Dan saat itu jugalah saya kian percaya, buat kesekian kalinya; bahawa Allah Maha Adil.

Betapa risau aku

melihat kemelut umat tak berkesudahan

meracau dan menggila dengan kuasa

tak terdetik membela agama

Keriau dan tangis kemiskinan sudah kehilangan suara

Yang ada hanya kerakusan kuasa yang mabuk dan hina

 

Bagaimanakah akan ku bangunkan umat ini

Melihat dengan insaf dan sedar

Bahawa kemiskinan, kebodohan dan kesusahan adalah resah yang berpanjangan

 

Sampai bila umat ini akan mewarisi jenayah silam

Yang tidak berwarna dengan kemenangan

Sudah tidak berhargakah seruan “haya la falah”?

Atau yang mereka dengari adalah “haya la KALAH?

 

Renunglah kota al hambra..

Dibangun atas kepayahan dan penuh keagungan

Jatuh berkecai kerana pergolakkan

 

Sudah hilangkah keyakinan kita

Untuk membangun Andalusia Baru?

Atau kita sekadar menunggu kalau-kalau jatuh dari langit

kota al-hambra,

Atau terbangun sendiri Granada

Menjelma dari bumi Masjid Cordova?

 

Tekad ku Membangun Andalusia Baru!

Bukan sekali aku memujuk hati dan perasaan melupakan peristiwa itu. Bukan sekali juga aku cuba memberanikan diri untuk kembali ke bumi yang menghadiahkan pelbagai makna. Di situ aku mengenai insan-insan besar dalam hidup. Menelusuri sirah hidup Ustaz Zain yang amat tabah dan mengenali susuk tubuh “kamus berjalan” Ustaz Rasyid amat mempersonakan.

Setahun yang lalu aku memijakkan kaki di bumi yang tenang sebagai seorang pekerja. Tentu sekali aku sedar kekurangan yang aku punya dan kelemahan yang bersimpang pada diri aku. Setahun yang dulu juga aku memilih jalan yang tentu sekali berbeza. Ketika itu ramai teman-teman dan sahabat handai yang tidak bersetuju dengan pilihan aku. Memilih dunia yang terlalu kontra dengan arus perdana. Aku kehilangan sahabat ketika memilih jalan itu. Ustaz Wan Salim pernah seketika bergurau dengan penuh sindirian ketika aku mula bekerja di bumi Mengkuang. Tajam dan terasa kerana yang berkata itu adalah murabbi yang paling aku hormati. Tak kurang juga yang dengan jelas terus menyerang aku dalam mailisting yang aku sendiri adalah ahli mailisiting tersebut. Aku pula dikunci mulut dan tangan agar jangan menjawab! Aku bersyukur ketika itu aku bersabar dan tidak melenting. Aku diam dan terus menyepi di bumi Mengkuang. Aku juga dibuang ke tepi. Dilucutkan jawatan, tidak lagi dijemput menghadiri majlis atau program. Semua aku telah dengan penuh kesabaran. Mujurlah Ustaz Zain begitu memahami. Sekurang-kurangnya aku masih punya kawan ketika itu.

Berkhidmat di Mengkuang tidaklah menarik jika dilihat dari sudut tawaran. Tapi yang menarik adalah pengalaman. Ustaz Rasyid bukan sehari dua aku kenali. Jiran merangkap guru yang paling banyak ku rujuk. Gulai Sembilang di Masjid Tebuk Hj. Musa, Capati Melayu di Pauh Jaya masih ku ingat sebagai santapan paling digemari oleh Ustaz Rasyid selain roti arab cicah kari kambing..huh! Kenangan dengan Ustaz Rasyid bukan sekadar makanan. Rujukan, nasihat dan ingatan amat aku hargai sehingga kini. Kenangan menemani beliau sehingga ke Ipoh berkuliah serta mengutip setiap mutiara ilmu dari perbualan sepanjang perjalanan pergi dan pulang amat aku ingati sehingga hari ini. Ketika menjadi jiran Ustaz Rasyid aku mencuba untuk ikut ke kuliah kerana dua alasan, pertama kerana nak belajar dan ke dua kerana aku risaukan keselamatan beliau yang ketika itu pulang lewat malam. Kadang kala beliau tertidur ketika memandu! Pernah juga aku meminta izin untuk memandu kerana aku lihat beliau terlampau letih. Tambahan pula Zawjah  ustaz Rasyid adalah rakan sepejabat ku. Itu membuatkan aku lebih prihatin kerana Kak Huda juga banyak jasa pada aku.

Di Mengkuang juga aku dapat mengenali dengan dekat tubuh Dr. Asri. Mungkin tidak banyak yang boleh dicatat kerana ketika itu beliau sibuk di Perlis. Selain ingatan tentang mee goreng di Cherok To’ Kun yang digilai oleh beliau. Aku dan Ka sering kali mengelarkan mee kembang tengokok. Hari ini, rupa-rupanya sudah setahun aku tinggalkan bumi mengkuang tersebut biarpun apa cerita di sebaliknya.

Semalam setelah setahun Aku tinggalkan bumi mengkuang, Aku gagahi kembali menjejaki denai berliku. Pak long(ayah dr Asri) menyapa Aku serta ramai lagi khalayak iq

Sekurang kurangnya bumi mengkuang menyimpan perasaan yang mendalam. Sebahagian adalah ingatan yang tidak berkesudahan, sebahagian lagi adalah cerita yang ku pendam dalam setiap penjuru bumi mengkuang itu.