Aku masih belum pecaya. Betapa aku sudah setahun meninggalkan sebuah dunia paling ku cinta: PENDIDIKAN. Entah kenapa begitu berani aku mengambil keputusan se-nekad itu untuk meninggalkan dunia yang penuh warna warni ibarat kata Awang Had Salleh dalam bukunya Warna Warni Pengalaman Seorang Guru.
Kala teman-teman yang lain masih istiqamah dengan ilmu, tawaduk dengan buku, iltizam dengan tarbiyyah aku seorang diri merasakan kekosongan. Kadang kala rasa cemburu datang bertubi-tubi di tambah dengan sedikit rencah PENYESALAN atas keputusan yang ku ambil itu. Ya, aku tahu di dunia itu amat memilukan. Penuh dengan dugaan dan Sarat dengan cabaran. Tapi di sanalah aku mengenal erti hidup, kenal erti ukhuwah, Saat ramai meraba dalam terang mencari erti hidup, aku temui insan-insan besar yang berjiwa besar biarpun bekalnya hanya semangat! Aku dapat rasakan keikhlasan rakan-rakan bekorban untuk perjuangan. Terlampau indah!
Mungkin ada kalanya aku dan rakan-rakan mengeluh, penat, letih mungkin juga jemu dengan pelbagai karenah anak-anak murid, tapi setelah setahun ku tinggalkan dunia itu, baru ku tahu itulah yang amat menyenangkan! Seakan-akan aku terdengar kembali rintih sahabat guru yang kekurangan wang, gaji yang diterima terlampau kecil. Ada yang terkejut kala ku beritahu gaji ku dengan ungkapan “Anta ni dalam kelompok bawah garis kemiskinan!” Aku tersenyum puas. Kerana aku tahu ramai kawan-kawanku yang bergaji besar tidak pernah puas dengan apa yang mereka miliki. Aku pasrah dan redha dengan ketentuan Allah yang meletakan aku di jalan itu dulu. Aku sedar ada yang lebih susah dari aku saat itu. Tidak pula hingga aku perlu jadi pengemis.
Ya, saat ini aku amat rindu pada jadual waktu mengajarku, pada meja di bilik guru, pada usikkan nakal teman-teman sebilik guru, pada perangai yang pelbagai anak-anak muridku…ahhhh semuanya terlampau indah untuk dikenang. Aku pasti saat ini juga teman-teman yang pernah mengharungi kehidupan penuh berliku di Sek. Men. Islam Ad Diniah pasti pilu mengenangkan semula semua itu. Aku tahu mereka juga payah meninggalkan dunia itu. Aku tahu Nizam, anta juga pasti rindu kembali ke kelas mengajar anak bangsa. Aku tahu Zayd, anta juga pasti rindu pada riuh rendah kelas yang anta ajar sehingga guru kelas sebelah terpaksa menenangkan kelas yang anta ajar, Aku tahu Abg Rezal pasti masih ingat saat indah menegur dan menasihati anak murid kita bersama di perhimpunan pagi.
Maaf aku terlampau emosi saat ini. Aku tak dapat menahan perasaan untuk kembali ke dunia pendidikan yang penuh cabaran itu. Di sana aku tenang, tidak perlu pening dengan karenah badut-badut yang liar menganalisa biarpun aku susah. Di sana aku dapat rasakan betapa eratnya persahabatan, ukhuwah terjalin ikhlas tanpa perlu dipaksa-paksa. Bersahabat kerana Allah bukan kerana punya kepentingan. Di sana aku tak perlu melihat wajah manusia bermuka-muka, di sana tidak ada sepak terajang politik yang amat memualkan!
Setahun yang pedih aku tinggalkan dunia pendidikan. Semestinya aku rindu pada ungkapan CIKGU itu. Semua tahu saat aku menyampaikan ucapan terakhir bergelar guru, air mata ku tahan agar jangan mengalir. Aku tahu ramai rakan-rakan yang tidak bersetuju ketika itu…aku sedar sahabat, maafkan aku atas kegelojohan itu.
Untuk menyesal dan mengkhabarkan pada seluruh dunia bahawa aku menyesal dengan tindakan aku itu….bukanlah aku sebenarnya. Aku juga pasrah di dunia baru. Masih ada insan-insan ikhlas berjuang tanpa mengharap sebarang laba dan keuntungan biarpun bilangannya tidak sebesar di dunia pendidikan ku. Aku juga bersyukur, kalau tidak aku tidak tahu membezakan watak murabbi yang ikhlas dan yang hanya memikirkan untung rugi pada kiraan ringgit semata-mata. Aku juga belajar sesuatu.
Sang Murabbi yang amat besar ertinya.