Lama tidak pulang ke blog yang sudah dipenuhi sawang lelabah dan habuk yang menyesahkan nafas. Sekadar berkongsi rasa dengan artikel di bawah:

Dua ‘Tan’ dalam hidup saya — Sang Pelangi
October 25, 2010
25 OKT — Ketika zaman mahasiswa, saya telah menghadiri kem kepimpinan yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan berasaskan Melayu di negara ini. Dalam kem tersebut saya telah diperdengarkan dengan sebuah lagu hip hop dalam bahasa Hokien.

Penceramah tersebut menyatakan lagu tersebut merupakan satu manifestasi ketidakpuasaan hati kaum Cina di Malaysia yang sedang menuntut hak yang setaraf dengan Melayu. Kemudian saya ditunjukan data-data mengenai pegangan ekuiti Bumiputra, asset Bumiputera, bilangan professional Bumiputera yang amat menakutkan.

Sebagai seorang budak Melayu yang mentah ketika itu, saya terus bertekad dalam hati saya “Bangsa Melayu ini perlu dibantu!”

Kisah Saya dan Tan 1

Menyingkap semula ketika zaman persekolahan, saya hidup dengan warna warni persahabatan yang amat mengujakan. Di sekolah saya hanya ada seorang pelajar berbangsa Cina bernama Tan. Dia seorang pelajar yang lincah dan pintar.

Tan bukanlah sahabat baik saya kerana kami berlainan kelas. Justeru saya tidaklah begitu ambil “pot” sangat dengan Tan. Tetapi selepas kami semua mendapat keputusan peperiksaan SPM saya mula mengenali Tan dengan lebih dekat lagi. Tan mendapat keputusan yang cemerlang, manakala saya seperti rakan-rakan yang lain “biasa-biasa” sahaja. Saya dan teman-teman yang lain berjaya memasuki menara gading tempatan.
Seminggu sebelum saya mendaftarkan diri di Univeristi Putra Malaysia, saya ke rumah Tan. Rupa-rupanya Tan tidak berjaya ke mana-mana universiti. Wajah Tan yang selama ini ceria hanya suram dan tidak banyak bercakap. Ibu Tan pula sangat sinis dengan saya.

Pulang dari rumah, saya tertanya-tanya dengan diri saya sendiri. Saya tidak faham bagaimana seorang pelajar cemerlang boleh dinafikan hak sebegitu rupa. Dalam fikiran saya terbayang wajah rakan-rakan Melayu saya yang tidak secemerlang mana yang berjaya di sebuah universiti khas untuk Bumiputera.
Kisah Tan di zaman persekolahan hilang begitu sahaja, sebagaimana hilangnya Tan dari pengetahuan saya. Kali terakhir saya mendengar kisah Tan sekitar 6 tahun yang lalu.

Dia di Australia melanjutkan pengajian dan bertekad untuk terus bekerja di sana.

Kisah Saya dan Tan 2

Saat ini saya berkenalan dengan seorang lagi Tan dalam hidup saya. Kami adalah rakan sepejabat. Dengan beban tugas dan karenah boss yang cukup memeningkan, saya dan Tan sering minum petang bersama sambil cuba menghilangkan stress setelah seharian bekerja. Setelah lama berkenalan baru saya tahu, bahawa lagu Hokien yang diperdengarkan kepada saya ketika mengikuti kem kepimpinan di zaman mahasiswa dahulu adalah nyayian dan karya Tan. Saya jadi kaget ketika itu, lagu yang saya tidak faham walaupun sepatah kecuali beberapa carut maki itu, dikarang dan dinyayikan oleh seorang sahabat yang sering menjadi pendengar yang setia kepada masalah-masalah saya.

Saya tidak percaya bahawa orang yang pernah saya benci dahulu terjelma kini sebagai seorang sahabat yang mulia. Saya beristifar panjang ketika itu. Baru saya faham kini, rupa-rupanya saya telah dibohongi oleh seorang pembohong ketika itu.

Realiti Semasa

Sebagai seorang Melayu saya bangga menjadi Melayu.

Saya bangga pada budaya Melayu yang penuh beradat. Kesopanan dan kelembutan bahasa Melayu sering saya angkat. Kekuatan sejarah Melayu saya kagumi dan junjung tinggi. Tetapi tidak pula bermakna saya tidak boleh untuk membantu kaum lain. Tidak bermakna saya harus pijak bangsa lain untuk maju. Tidak pula bermakna saya harus cerca dan maki hamun mereka hanya kerana bangsa mereka.
Ketika di alam pekerjaan, saya sering mendengar seruan untuk “tolong orang kita”. Saya tertanya-tanya “orang kita” itu siapa? Orang Melayu yang miskin di bandar dan luar bandar ataupun “kawan-kroni-anak beranak kita”.

Saya tidak marah jika anda ingin membantu orang Melayu, tapi saya marah jika Melayu yang anda bantu itu tidak lebih adalah “kawan-kroni-anak beranak kita” yang tidak berkualiti untuk dibantu. Walhasil anda sebenarnya tidak membantu “orang kita” tetapi yang anda bantu adalah “orang saya”!

Saya ingin Melayu dibantu, tetapi biarlah Melayu yang benar-benar layak. Melayu yang tahu apa makna “usaha” dan bukan “duduk saja”. Impian saya hanya ingin melihat agar seseorang itu dinilai dari sudut karektor, bakat dan kualiti yang dipunyai oleh seseorang itu dan bukan bangsanya!

Tetapi dalam masa yang sama, saya juga tidak terlepas untuk menyatakan bahawa bangsa lain juga perlu jujur dengan saya (Melayu) sebagaimana saya telah jujur dengan anda. Saya jujur bahawa ruang biasiswa, peluang melanjutkan pengajian, dan pelbagai lagi perlu dibuka kepada semua kaum.

Tetapi saya juga meminta agar anda jujur untuk membenarkan kami mempunyai sedikit ruang untuk “bernafas” dalam perniagaan. Lupakan DEB yang hanya membantu segelintir kelompok sahaja.
Hakikatnya masih ramai peniaga Melayu tulen yang tidak mendapat apa-apa bantuan dari mana-mana pihak yang memerlukan bimbingan dan nasihat anda. Saya yakin, bangsa yang lain tidak “berkira” kerana saya bertemu dengan peniaga Melayu yang berjaya hasil dari nasihat dan tunjuk ajar peniaga kaum Tionghua. Saya tidak meminta banyak, hanya kejujuran sahaja.

Siapa Salah?
Saya sampaikan pandangan saya ini kepada seorang sahabat saya yang merupakan ketua pemuda kepada sebuah parti politik berasaskan kaum. Dia lantas bangun dan menjerit berkata bahawa saya “tidak faham bahasa!”. Saya menjawab ya, memang saya tidak faham bahasa perkauman!

Orang politik lah yang perlu dipersalahkan. Mereka yang sering memain dan meniupkan api perkauman itulah yang harus dipersalahkan. Mereka yang kaya raya hasil daripada api marah dendam perkauman yang mereka nyalakan. Mereka yang setiap malam tidur di tilam yang empuk sedang rakyat masih tidur di ranjang kemiskinan yang menderitakan.

Dua Tan

Kepada Tan 1: Saya tidak lagi marah dengan kenyataan emosi yang anda keluarkan ketika pertemuan kita yang terakhir di rumah. Aku juga memohon maaf untuk semua itu.

Kepada Tan 2: Maafkan saya kerana pernah membenci anda yang saya tidak kenali dulu. Maafkan saya kerana hanya bersemangat tanpa ilmu. Saya akan cuba menjadi sahabat yang baik selepas ini.

Oh, terlupa untuk The Malaysia Insider: I am a Malaysian first and Malay next. Does any bigot have a problem with that?

* Sang Pelangi adalah pembaca The Malaysian Insider.

Advertisements