Semalam Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar sikap Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana membatalkan perarakan Maulidur Rasul Peringkat negeri seperti yang dilaporkan dalam Utusan. Sekadar ingin memetik pandangan “anak imam” ini yang menyatakan:

“Sambil mempersoalkan tindakan itu Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan Pulau Pinang terutama Ketua Menterinya, Lim Guan Eng nampaknya mula mempraktikkan satu sikap baru iaitu mereka enggan mendukung cita-cita serta hasrat yang membabitkan kepentingan umat Islam.”

Saya jadi terpinga-pinga dengan kenyataan ini. Sejak bila perarakan Maulidur Rasul menjadi satu “kepentingan umat Islam” Lebih memeranjatkan lagi kenyataan dangkal dari bekas Perdana Menteri dalam Malaysia Insider yang ingin saya petik sebagai berkata:

“Abdullah (gambar), yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), berkata tindakan membatalkan perarakan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa kerajaan negeri mengandaikan perarakan itu akan menjadi sesuatu yang tidak baik, membawa keburukan serta menyebabkan pergaduhan.

“Pandangan sebegitu tidak sepatutnya ada dalam fikiran kerajaan negeri sebab Maulidur Rasul adalah sambutan yang tiap-tiap tahun diadakan, perayaan yang aman dan tidak menjadi perayaan yang mencetuskan apa-apa yang tidak baik,” katanya kepada pemberita di IKIM di sini hari ini ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini.”

Kemudian Dr Mohd Puad Zarkashi pula dipetik sebagai berkata:

“Maulidur Rasul adalah satu sambutan yang amat penting bagi umat Islam, untuk mengingati Rasulullah (SAW). Jikalau mereka mahu membatalkannya kerana takut akan terjadinya demonstrasi, maka ia adalah satu pandangan yang amat sempit,” katanya kepada Bernama di Rengit hari ini.

Saya merasakan sekiranya benar kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menganjurkan perarakan Maulidur Rasul pada tahun ini, ia bukan satu yang pelik. Ini kerana dalam rekod Sambutan Maulidur Rasul ketika di zaman Barisan Nasional memerintah juga tidak menganjurkan perarakan. Dari tahun 2003-2005 rekod JAIPP menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mengajurkan perarakan Maulidur rasul. Mungkin Pak Lah lupa bahawa ketika itu beliau merupakan Perdana Menteri dan negeri kelahirannnya ini tidak menganjurkan perarakan maulidur rasul. Pada tahun 2003 sambutan Maulidur rasul diadakan di Sekolah Menengah Teknik Bukit Minyak, SPT tanpa perarakan maulidur rasul. Pada tahun 2004 sambutan maulidur rasul telah diadakan di Dewan Muhibbah, Sungai Dua Butterworth, Seberang Perai Utara tanpa perarakan. Pada tahun 2005 sambutan Maulidur Rasul diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaaan Mutiara Impian, Seberang Perai Selatan tanpa perarakan. Kenapa sekarang apabila kerajaan negeri khabarnya tidak menganjurkan perarakan menjadi isu pula? Ia jauh lebih pelik kerana kini UMNO tanpa sebarang keraguan akan menggunakan apa juga isu semata-mata untuk kepentingan politik sempit mereka.

Semalam EXCO Agama Pulau Pinang melaporkan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai niat untuk tidka mengajurkan perarakan maulidur rasul tetapi akan meneruskan perarakan tersebut. Ketua Menteri ketika di dalam ceramah pula mencabar Timbalan Perdana Menteri itu untuk ikut serta dalam perarakan maulidur rasul yang akan diadakan nanti.

Sekiranya pihak kerajaan negeri Pulau Pinang tidak menganjurkan perarakan Maulidur Rasul sekalipun itu bukan sesuatu yang perlu dihebohkan. Ini kerana Maulidur Rasul bukan sekadar perarakan! Perasaan cinta dan kenal rasul tidak terbit hanya dengan berlarak ke hulu ke hilir. Tetapi yang menjadikan kita mencintai rasul adalah apabila kita mengenali rasul, memahami dan mengambil pengajaran (ibrah) dari perjuangan ar-Rasul.

Untuk pengetahuan, kerajaan Pulau Pinang pada tahun ini akan mengajurkan satu majlis ilmu khas untuk menimbulkan perasaan cinta kepada rasul dengan Majlis Bacaan Kitab Sirah selama 2 hari. Kitab yang akan digunakan adalah Syamail Muahamad karangan Imam Turmizi.

Saya jarang ingin melahirkan kekecewaan saya. Tapi kali ini saya ingin menyatakan dengan jelas perasaan kecewa saya terhadap rakan-rakan yang kononnya bersama saya berjuang untuk menegakkan sunnah. Tidak sedikit pun saya mendengar atau membaca kenyataan keras dari rakan-rakan yang menolak pandangan jumud dari pihak Pak Lah, Dr Fuad ataupun Muhyiddin Yassin mengenai perarakan maulidur rasul. Saya merakamkan di sini bahawa perjuangan dakwah sunnah tidak boleh berpihak kepada mana-mana pihak. Jika keberanian menegur hanya untuk sesetegah kelompok maka tidak berguna lagi kita mengatakan kita mengikut jejak langkah Salafus Soleh..berapa ramai di kalangan mereka tegas dengan pendirian dan ada dikalangan mereka yang menemui syahid hanya kerana ketegasan mereka mempertahankan apa yang mereka yakini sebagai kebenaran.