“Sungguhpun negeri Tanah Melayu ini negeri yang sentiasa bertambah-tambah ramai dan bertambah-tambah kaya daripada kemakmuran khazanah buminya, akan siapakah yang sentiasa  beroleh keuntungan daripada kemakmuran itu? Di manakah bapa-bapa Melayu dan di manakah anak-anak Melayu? Pada sebutan yang zahir sebenarnyalah negeri ini negeri Melayu luarnya dan dalamnya kerana telah berkediaman bangsa Melayu itu padanya hampir-hampir 700 tahun. Akan tetapi pada masanya sekarang ini sebutan “Negeri Melayu” itu menepati hakikat maknyanya akan daerah-daerah kampong dan cerok-cerok negeri yang jauh dari pekan jua. Orang Melayu telah lari ke dalam hutan dan ke tengah-tengah negeri mendiami tiap-tiap lepan dan bukit bukau. Orang-orang dari luar telah datang menunggu dan meramaikan tepi-tepi lautnya dan Bandar-bandar perniagaan! Maka di tengah-tengah negeri yang jauh dari suara loceng itulah kamu akan berjumpa kebanyakan Melayu. Adapun lain daripada itu kamu akan dapati sama ada pada zahirnya atau pada hakikatnya negeri ini ialah negeri orang dari luar, pada pekerjaannya, pada perusahaaanya, pada pernigaannya dan pada pemerintahnya”

Ulasan Buku

Za’ba Dan Melayu

Dari sebuah disertasi Ph.D, buku ini diolah menjadi sebuah catatan kajian yang amat berharga untuk ditelaah oleh generasi seterusnya. Buku ini diterbitkan oleh Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini hasil kajian Adnan Hj. Nawang. Buku ini  sememangnya memuatkan kumpulan pemikiran Za’ba yang relistik, penuh kritikan dan paling penting ubat kepada masalah yang melanda bangsa Melayu.

Mungkin ramai yang mengenali sosok bernama Za’ba ini hanya sebagai seorang pendeta dalam bidang bahasa sahaja. Namun mungkin ramai juga yang tidak mengetahui bahawa Za’ba sebenarnya adalah tenaga pengajar di MCKK dan pernah pula diperosok oleh Kolonial menjadi penterjemah dan pengarang buku teks untuk sekolah Melayu. Semua ini dilakukan oleh penjajah untuk memastikan Za’ba berhenti mengarang dan mengkritik mereka.

Buku ini mengandungi 7 bab iaitu :

1. Kehidupan awal

2. Za’ba dan Ajaran Reformis Islam Kaum Muda

3. Pendidikan: Konsep dan Perkembangan

4. Bahasa Melayu: Pembinaan dan Kemajuan

5. Ekonomi: Kemiskinan dna Pembelaan

6. Politik: Gagasan dan Perjuangan

7. Za’ba daalam Arus Perkembangan Pemikiran Kemajuan Melayu

Paling menarik dalam buku ini ialah bab ke tiga bekenaan pendidikan. Pada pandangan Za’ba kemuduran yang dialami umat Islam adalah disebabkan kelemahan dalam bidang pendidikan. Menurut Za’ba masyarakat Muslim sememangnya mempunyai hemah, sanggup berusaha dan tidak malas tetapi masalah terbesar adalah “dengan sebab kejahilan dan kekurangan pengetahuan kita”. Pada pandangan saya, masalah utama kini pula adalah kekurangan tindakan.

Za’ba juga mengkritik tindakan sesetengah umat Islam yang “memenjara” wanita dalam satu kandang yang sangat  indah di luar. Beliau dengan tegas mengkritik sikap sesetengah umat Islam yang tidak membenarkan wanita untuk melanjutkan pelajaran. Ini seperti yang ditulis oleh beliau “ Perempuan-perempuan itu sangat patut, bahkan wajib juga diberi pelajaran sebagaimana laki-laki, kerana mereka itupun manusia juga dan sama-sama ada hak mendapat pelajaran dan pengetahuan seperti laki-laki”

Beliau seterusnya menyindir sikap British yang pada pandangannya “yang amat insaf” tentang pelbagai masalah yang dihadapi oleh Melayu. Menurut Za’ba, Tanah Melayu adalah amat kaya raya. Buktinya pemberian hadiah oleh raja-raja Melayu kepada “kerajaan Maha Besar” di England semasa Perang Dunia Pertama dan keduanya kerajaan kolonial British Tanah Melayu meminjamkan wang kepada kerajaan Siam untuk pembinaan jalan kereta api yang menghubungkan utara Tanah Melayu dengan ibu Negara Siam iaitu Bangkok. Jumlah sebenar kos tidak disebutkan oleh Za’ba namun beliau menyifatkan pekara tersebut dengan kata-kata “berpuluh-puluh million paun”. Oleh yang demikian tidak ada sebab kenapa pihak Kolonial perlu mengabaikan pendidikan Melayu.

Namun begitu Za’ba juga kecewa dengan sikap raja-raja dan orang kaya Melayu yang tidak pernah mempunyai kesedaran tentang kepentingan pendidikan Melayu. Tetapi jauh di sudut hatinya Za’ba tetap menaruh harapan yang masanya akan tiba di mana pendidikan Melayu terbela juga apabila kedudukan sosial dan ekonomi masyarakat Melayu mencapai satu tahap di mana mereka akan bekerjasama untuk mengatur dan membiyai pendidikan hingga ke peringkat univerisiti. Beliau juga menekankan akan peri pentingnya untuk wujudnya sebuah univeristi Islam. Padangan itu beliau lontarkan pada 1930-an.

Aspek kemunduran Melayu pula disentuh secara halus dan sangat tajam. Menurut Za’ba :

“Orang-orang kita Melayu ini pada hitungan am atau jumlahnya ialah kaun yang tersangat miskin. Kemiskinan itulah sifat yang terlebih sangat lengkap dan nyata daripada lain-lain sifat kebangsaannyaa dan ialah juga sebenar-benar kekurangan yang menjadikan mereka kalah atau ketinggalan di belakang dalam perlumbaan kemajuan. Miskin pula pada wang ringgit dan harta benda, miskin hemah dan cita-cita, miskin pada pelajaran dan latihan pengetahuan, miskin pada alat-alat kelengkapan otak dan pada beberapa sifat-sifat keperangaian yang tinggi dan mulia-jadilah mereka tak dapat tiada bersangkut dan ketinggalan dalam perjalanan bangsa-bangsa”

Menurut Za’ba lagi orang Melayu mestilah “Bekerja sama-sama..jika mereka berhajat hendak mengangkat diri mereka ke tempat yang tinggi daripada kerendahannya dan kenyataanya (kebangsatannya) yang menyelubungi mereka sekarang ini”

Dibelakang buku ini pula terdapat sebuah syair hasil tulisan Za’ba yang sangat menarik untuk direnung oleh semua:

Berkata kaumku apakah ilmu

Terangkan jawab beri olehmu

Faham yang adil beri bertemu

Akal fikiran jangan tersemu

Tarikah geografi karang mengarang

Tukang menukang membuat barang

Ilmu berniaga ilmu berperang

Semuanya “abadan” tiada kurang

Ilmu penyakit ilmu kesihatan

Ilmu anggota hubat-hubatan

Kimia tabii darat lautan

Wap elektrik pekan dan hutan

Hidup manusia dua pihaknya

Satu di dunia badan busuknya

Satu akhirat tujuan rohnya

Wajiblah ilmu bagi keduanya

Za’ba

Majalah Guru, Bil 9, Th 4, 1 September 1927

Advertisement