pahlawanindonesiagt913

Alhamdulillah. Sempat juga aku habiskan membaca buku ini. Seharusnya aku perlu berterima kasih kepada DSAI yang sudi membenarkan buku-buku milik beliau dipinjam untuk dibaca. Terima kasih Dato’ Seri.

Penulis buku ini, Anis Matta merupakan pimpinan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia. Justeru membaca hasil kerja seorang pemimpin sekurang-kurangnya kita dapat menangkap sebahagian dari pola pemikiranya.

Mencari Pahlawan Indonesia berjaya ditulis secara bersahaja. Dengan tajuk seberat ini beliau mengungkapkan dengan cara yang begitu istimewa sekali. Sebagai lulusan Univerisiti Muhammad Ibnu Su’ud, beliau tidak pernah lupa untuk mencatatkan lembaran-lembaran ayat al-Quran dan hadith.

Buku ini tambah menarik apabila dicoretkan dengan puisi yang menambahkan lagi serinya. Puisi yang dikutip dari Chairil Anwar sehinggalah Ibnu Qayyim ini, kena pada tempatnya.

Pada pandangan saya Bapak Anis Matta jelas mencurahkan pemikiran beliau terhadap masalah yang melanda Indonesia yang perlu segera dicari Sang Pahlawan untuk mengatasi segala kebobrokan yang membobot itu!

Benarlah seperti yang dikata oleh Taufiq Ismail dalam pengantarnya, sedap dibaca, bahasanya terpelihara, puitis di sini sana, pilihan judul mengena, dan disampaikan dengan rendah hati.