Kata Pembukaan

Saya bukan orang agama yang pandai bersyarah mengenai pelbagai persoalan agama. Maaf untuk itu. Saya juga bukan pengkhianat, batu api berwajah konon-konon warak kerana pada saya itu hipokrit namanya. Saya juga bukan orang penting untuk berkomentar panjang sesuatu isu. Saya hanya orang biasa yang sering melakukan kesilapan. Namun untuk membuat onar, membelah persaudaraan oh itu bukan saya.

Terkait dengan satu isu terkini yang saya amat malas mengulasnya. Apatah lagi mencampuri urusan tersebut. Adakah kerana itu saya terpaksa mendiamkan diri setelah pelbagai kata nista, cercaan malahan makian berkarung dilemparkan kepada seseorang? Perlukah saya hanya melihat saudara sesama muslim sedang meratah daging saudaranya sendiri? Ahhh tentu sekali anda tidak akan faham melainkan anda berada di dalam ruang yang saya ada sekarang ini.

Hanya satu pengajaran penting untuk kita sama-sama muhasabah. Pengajaran di sebalik peristiwa Masjid Dhirar yang dirakam dalam sirah sebagai satu manifestasi kekalutan jiwa yang penuh hasrat dendam kesumat!

Masjid Dhirar adalah sebuah masjid yang didirikan oleh Abu Amir Ar-Rahib seorang nasrani ketika zaman Islam di Madinah. Beliau sangat benci kepada Islam dan telah mengatur satu langkah untuk memecahbelahkan Islam. Langkah yang beliau ambil ialah dengan membina sebuah masjid berhampiran dengan Masjid Quba. Tujuannya hanya satu iaitu supaya masyakat Islam berpecah belah dan porak peranda.

Ketika sedang bersiap sedia untuk ke medan peperangan Tabuk, Rasulullah didatangi oleh munafik sambil berkata “Wahai Rasulallah! Sesungguhnya kami telah membina sebuah masjid yang merupakan keperluan kepada kami. Demi Allah, tidaklah kami kehendak untuk membinanya melainkan kebajikan dan kebaikan, sesungguhnya kami suka, jika kamu datang dan menunaikan solat didalamnya dan berdoa keberkatan padanya”.

Namun Rasulullah menolak jemputan tersebut kerana sibuk dengan urusan peperangan. Setelah tamat perang Tabuk Rasulullah menerima wahyu yang menyebut:
والذين اتخذوا مسجدا ضرارا وكفرا وتفريقا بين المؤمنين وإرصادا لمن حارب الله ورسوله من قبل وليحلفن إن أردنا إلا الحسنى والله يشهد إنهم لكاذبون

Maksudnya;
“Dan (diantara orang munafiq itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: “kami tidak menghendaki selain kebaikan”. Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpah mereka)”. (surah at-taubah : 107)

Lalu Rasulullah telah mengarahkan beberapa orang sahabat iaitu Malik bin Ad-Dakhsyim, Maan bin Adi atau saudaranya ‘Asim bin Adi dengan kata Baginda s.a.w;

انطلقوا الى هذا المسجد الظالم أهله فاهدمواه و أحرقواه

Maksudnya;
“Berangkatlah kamu kepada masjid ini yang zalim ahlinya dan hancurkannya dan bakar olehmu akannya”( “Asbab An-Nuzul ‘an Sahabah wa al Mufassirin”)

Pengajaran penting dalam peristiwa ini ialah niat dalam mengerjakan sesuatu pekara hendaklah berpaksikan kebaikan. Janganlah kerana pertelingkahan dendam kesumat dan nafsu amarah yang menguasai diri menyebabkan kita terburu-buru melakukan sesuatu pekara. Kemudian bila ditanya kenapa kita berbuat demikian, kita akan mencari dalil yang baik-baik untuk menutup perasaan dendam yang membuak-buak dalam sanubari kita. Munafiq????

Advertisement