Menjadi sahabat kadang-kadang mudah. Yang payah mencari sahabat yang sejati. Sahabat yang mampu susah senang bersama. Mampu menangis bersama kita kala kita sedih, dan ketawa tika kita gembira.
Alhamdulillah sebahagian teman-teman yang aku kenali benar2 sahabat. kalau pun tak semuanya sejati namun memiliki sahabat adalah satu anugerah.
Adam Muhammad nama salah seorang sahabatku. pada aku dia adalah sahabat yang mulia. Mengenalinya banyak menghadiahkan aku makna kehidupan. sebahagiannya adalah kekuatan mengharungi cabaran yang berliku. Sepanjang perkenalan dengan beliau banyak memberikan aku tunjuk ajar dan mungkin juga nasihat berguna. jarang sekali aku menceritakan masalah peribadi pada orang lain…tambahan jika orang yang aku kurang akrab. Namun pada Adam lah aku bercerita mengenai sebahagian kecil masalah hidupku yang berputar mengenai isu cinta alam remaja. Dia mengajar aku menjadi tabah, berani dan kuat semangat untuk menempuh kehidupan biarpun mungkin ranjaunya sepanjang jalan.
Kali akhir aku bertemu dengan Adam ketika kami aku dan teman2 yang lain ber’re-union” semula sebagai pendidik dan pendokong SEMI, Sebuah sekolah agama yang amat menginspirasikan. Pertemuan dengan kadar yang singkat, sempat berbual mengenai kehidupan dan raujaunya. Beliau yang ketika itu menyambung pengajian di bumi kenyalang amat gembira, ya seperti biasa wajahnya ceria tanpa menampakkan kesuraman. Itulah Adam yang aku kenali.
Masih segar dalam ingatanku bagaimana kami berjenaka tika perhimpunan pagi di waktu semua guru-guru yang lain bermuka serius. Bagaimana kami berdua “memperlekoh” moto RC Ustaz Nizam semata-mata untuk makan Mee Udang di Tasik Chempedak. Berapa kali moto RC tersebuat bikin hal (pancit le tu). Pun begitu tidak sama sekali mematahkan semangat kami untuk terus memperlekoh moto tersebut.
Aku masih terkenang ketika ku sibuk mencari dana untuk membolehkan pelajar sekolah SEMI pergi ke ihtifal sanawi di Seremban. Adam yang ketika itu di USM sempat aku sapa. Malah dia jugalah yang bersuara meminta wang dari bapanya Dr. Jaffar untuk diberi kepada aku selaku pengutip wang. Dia jugalah yang bersuara kepada seorang lagi staf untuk turut menyumbang. Aku ketika itu berterima kasih amat pada Adam kerana begitu serius membantu aku walaupun nadanya selalu saja jenaka. Ketika aku hendak pulang, Adam menghulurkan wang dari koceknya kepada aku sambil berkata “ini sumbangan aku untuk SEMI. Sumbangan ini berbentuk peribadi. Aku sebenarnya ada banyak tu je.. tapi untuk SEMI tak pa lah” Aku ketika itu begitu terharu dengan sumbangan tersebut.
Lama kemudian aku dengar Adam sudah pulang ke semenanjung. Perasaan untuk bertemu dengan dia, begitu kuat namun tak pernah sempat. Sehinggalah aku mendapat khabar bahawa dia di ICU semalam. Nekad aku mahu menjengoknya petang tersebut. Namun tak berkesempatan juga. Aku nekad untuk menziarahi beliau pada keesokkan pagi. Rasanya masih sempat. Aku akan minta half day dari pejabat esok! Esok pagi ketika mundar mandir aku mendapat panggilan dari Dr. Misni Surif, memaklumkan Adam pergi menyahut panggilan ilahi. ketika itu aku sudah tegamam. Tak sangka sama sekali sambil bibir menutur doa untuk dia. Aku pergi ke masjid USM. Ketika itu jenazah Adam sedang dikafankan. aku sempat melihat wajahnya yang masih segar dengan ceria. dia masih seperti dulu. Tak sangka pertemuan terakhir kami ketika aku masih bernafas manakala dia sudah tiada. Aku turut solat jenazah sehingga ke kubur. Ia cukup menginsafkan. Doaku semoga kau tenang di sana Adam…..
Adam pada aku benar-benar sahabat yang mulia. Keceriaan yang terbit diwajahnya benar-benar membuatkan semua gembira dan ketawa. Benarlah, tak semua akan menjadi sahabat, sebagaimana tak semua akan menjadi musuh.
Jun 15, 2008 at 4:08 pm
semoga terus bersahabat dan ketemu di syurga..ameen
November 2, 2008 at 1:53 pm
EVEN BOTH YOU AND ADAM ARE SEPARATED, BUT I BELIEVE AS A GOOD FRIEND,ADAM IS STILL REMAIN IN YOUR HEART. DEATH COULDN’T TAKE BOTH OF YOU AWAY IF YOU KEEP PRAYING FOR YOUR FRIEND. YOUR PRAYS IS A BRIDGE THAT CONNECT BOTH OF YOU.
Oktober 23, 2009 at 1:21 pm
semoga ADAM akan bahagia di alam sana….ameen