Saat saban malam kau ke desa

Meraih simpati dan undi

Dan saat kau tak segan

Bermain lecah dan selut di sawah

Kau hulur tangan pada nelayan

Di pinggir pantai

Biar kau tahu hanyirnya

Lekat sampai ke malam

 

 

 

 

Saat kau menangis hiba

Melihat halaman mu penuh sampah “kemiskinan”

Di depan mu debu “rasuah” bertaburan

Entah dari mana datang bau busuk “penyelewengan”

Dan betapa pincang sistem sosial yang berpenyakit itu

Yang semuanya menyedarkan mu

“Aku harus berbuat sesuatu!”

 

Lalu kau telusuri

Jalan berliku

Saat itu aku tahu

Tak ramai teman yang bersama mu

Ramai juga yang lari

Malah ada yang malu-malu mengaku kawan

Tak kurang yang mencebik rasa

Dengan sinis berkata

“wang tiada, boleh menang ka!”

 

Dan kini kau sudah berdiri

Sebagai pemimpin dengan wajah berseri

Kau dijulang bangga

Dalam diam sudah ada yang mengira

“untung kita, untung kita”

 

Dan kau kini sudah bergaya

Tiada lagi T-Shirt lusuh

Yang kau pinjam dari ku dulu

Tiada lagi stokin masam

Yang juga milik ku

Kau sudah “bertai” dan “berkot”

Berbaju baru

 

Ketahuilah

Yang datang menjenguk mu

Di tingkat 52 itu

Ada yang ikhlas membantu

Ada yang terharu

Ada yang berharap berubah sesuatu

Tak kurang yang dulu mencerca mu

Kini datang dengan fail dan surat

Minta diluluskan cepat

Peruntukan kononnya untuk rakyat

Dalam diam mereka merembat!

Sambil megah mereka berkata

“dia sejama’ah dengan kita

Kita manfaatkan untuk kita sahaja,

Sekat yang lain dari menghampirinya”

 

Mereka dulu pernah kau minta membantu

Jentera mu tak kukuh untuk berkerja

Pitis mu tak cukup untuk dihulur

Pada sekelian rakyat

Yang merempat

Namun mereka membisu

Sambil malu-malu meminta diri

Konon nanti dibawa wang berguni

Jentera berlori

Hingga kini tak tertunai janji

 

Ingatlah wahai sahabat

Di luar sana ramai yang bermuka talam

Konon-konon membantu

Tapi menyamun

Konon-konon ikhlas

Tapi merampas

Konon-konon sahabat

Tapi musibat

 

Syaitan kadang-kadang

Tak malu mengaku malikat

Penipu kadang-kadang

Tak malu mengaku jujur

Penyamun kadang-kadang

Tak malu mengaku pejuang

 

Kau selidikilah mereka itu

Yang kini datang merapati dirimu

Yang datang dengan senyum simpul

Dengan ketawa berdekah-dekah

Bisakah mereka menangis bersamamu?

 

Betap ramai orang terdahulu sebelummu

Yang sedar dan insaf

Betapa rakyat harus dibela

Tapi tersungkur juga akhirnya

Bukan kerana tidak jujur

Tapi pembantu yang punya kepentingan

Isian perut mereka diutamakan

Rakan “sejama’ah” yang mendapat habuan

Sedang rakyat dibawa sana

Membawa tempurung menagih janji

Yang kau sendiri taburi

Anak mereka seperti anak mu sendiri

Ditahan pembantu mu

Dihalau keluar rakan “sejama’ah”mu

Lalu mereka mengadu

Pada yang satu

Moga kau ….

 

Ingatkah kau pada nenek tua di kawasan mu

Yang atap rumahnya bocor selalu

Ingatkah kau pada nelayan

Yang carik pukatnya

Patah dayungnya

Ingatkah kau pada ibu tua

Yang masih bersawah cara dulu

Tanpa jentera dan mesin baru

Kerana peruntukan “hanya lalu”

Kemudian masuk ke poket penghulu

 

Ya, mereka ini yang kau pernah janji akan dibantu

Mereka inilah sahabat mu

Sentiasa tunduk malu kerana menghormati dirimu

Segan meminta

Mau hidup dengan usaha sendiri

Tak pernah melawat mu

Kerana sedar kau punya tugas lebih besar

Tak seperti rakan sejama’ah mu

Konon datang membantu

Tapi mengharap sesuatu

 

Sahabatku

Bukan mereka rakan sejama’ah mu yang mengundi mu

Ibu tua tanpa anak itu

Yang mengundi mu

Nelayan beranak kecil

Yang tak mampu membeli susu

Yang mengundi mu

Janda anak ramai

Yang tak mampu disekolahkan itu

Yang mengundi mu

Penjual nasi lemak dan air tebu

Tanpa lesen itu

Yang mengundi mu

 

Ya mereka ini yang merempat

Yang mengundi mu

Rakyat marhean

Yang tak pernah mengharap

Cuma doa saban waktu

Semoga kau terus sihat

Hidup dalam berkat

 

Bukan si penyangak berlakon alim

Bukan rakan yang akan menerkam

Yang tak pernah menghulur bantuan

Tika kau memerlukan  

 

Mereka inilah sahabatmu

Yang pernah kau minta membantu

Tanpa segan silu

Memberi undi pada mu!

 

abuhasif

16 April 2008

Penanti

11.45 malam  

 

 

  

Advertisement