
Oleh: AZMAN ANUAR
DEWAN 2020 sejak sebelum pukul 9 pagi sudah separuh dipenuhi orang ramai khasnya ahli-ahli UMNO yang mewakili tiga bahagian iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar.
Sebelum mengumumkan nama-nama calon Barisan Nasional (BN), Menteri Besar Perlis, Shahidan Kassim menggesa bendera UMNO dan BN dinaikkan dua kali ganda lebih banyak daripada sebelum ini.
Perkara bendera ditimbulkan Shahidan berikutan ‘polemik’ politik sejak Rabu lalu akibat ketidaktentuan kedudukannya dalam pilihan raya kali ini.
Malah dalam ucapan beliau menimbulkan tanda tanya mengenai masa depannya apabila beliau beberapa kali menyebut kepada kira-kira 500 penyokong BN, “Jika mereka tidak terpilih pilihan raya 2008 mungkin mereka akan dipilih pada 2010.”
Bukan sekali tetapi beberapa kali ‘2010’ disebut Shahidan. Mengapa?
Ada desas-desus mengatakan wujud ‘perjanjian sulit’ bahawa Shahidan hanya memimpin untuk dua tahun, kemudian tempatnya akan diganti oleh pemimpin lain.
Tujuan Shahidan berkata demikian pun boleh diduga semata-mata untuk menyejukkan hati pemimpin Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO negeri yang tidak dicalonkan kali ini.
Pada pilihan raya 2004, pembangkang hanya berjaya menawan satu kerusi iatu DUN Sanglang menerusi Pas.
Apa sebenar yang melanda negeri kecil ‘Indera Kayangan’ menjelang Pilihan Raya Umum Ke-12 ini? Benarkah wujud krisis politik dalaman?
Pemerhati politik negeri ini ketika ditemui melihat apa yang didakwa berlaku krisis politik hanya berpunca daripada perbezaan pendapat yang diangkat seolah-olah ada krisis. Sedangkan realitinya tidak berlaku pergolakan sehingga ke tahap krisis sama ada di peringkat akar umbi mahupun bahagian dengan Pengerusi Perhubungan Negeri.
Campur tangan
Kesukaran ini berlaku kerana campur tangan pihak-pihak yang membuat kenyataan akhbar terutama yang berkaitan jawatan rasmi mereka dengan melontarkan kenyataan provokasi.
Hakikatnya menurut pemimpin bahagian UMNO di sini, proses pencalonan sebagaimana dijamin Perlembagaan UMNO telah dilakukan dengan cukup telus dan melibatkan penyertaan seluruh jawatankuasa UMNO ketiga-tiga bahagian.
Kemungkinan yang disebut-sebut berlaku ketidakwajaran berlaku kerana campur tangan Setiausaha Agung UMNO yang meminta supaya pencalonan peringkat bahagian dibuat sekali lagi tanpa perlu menerima proses pengundian jawatankuasa bahagian yang pada peringkat awal dibuat di hadapan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.
Bagaimanapun, keputusan pencalonan kali kedua di peringkat jawatankuasa Bahagian Padang Besar dan Kangar sekali lagi telah mengesahkan kedudukan calon-calon.
Jadi tidak timbul masalah, cuma apabila Ahli Parlimen Padang Besar membangkitkan tentang ketidaktelusan proses pengundian calon di bahagian itu, ia telah dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk menggambarkan seolah-olah di dua bahagian lain turut bermasalah
Kesimpulannya tidak wujud masalah atau krisis dalaman. Kecuali digembar-gembur oleh mereka yang sebenarnya tidak mendapat sokongan bahagian masing-masing.
Pemerhati politik tempatan, Datuk Hashim Suboh ketika ditemui selepas pengumuman nama calon BN Perlis pula menegaskan bahawa Menteri Besar sebenarnya hanya ‘mengumumkan keputusan, bukan membuat keputusan.’“Memang sudah pasti nama-nama yang dicalonkan oleh bahagian dan dikemukakan oleh Pengerusi Perhubungan seperti mana senarai yang saya saksikan telah diubah hampir keseluruhannya,” kata Hashim yang pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada Shahidan.
Menurut maklumat yang boleh dipercayai, yang mempengaruhi keputusan pencalonan terdiri daripada tiga pihak selain Pengerusi Perhubungan Negeri. Mereka ialah Setiausaha Agung UMNO, Ahli Parlimen Padang Besar dan ‘institusi’ yang tidak boleh disentuh. Apabila keadaan dapat dilihat bahawa berlaku krisis di Perlis ditambah dengan pandangan institusi yang tidak boleh disentuh bahawa Pengerusi Perhubungan sedang bermasalah maka ‘kad terakhir’ berpindah ke tangan orang lain.
Apabila Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri berada kedudukan hendak ‘disingkirkan’ walaupun krisis yang dikatakan penyebab sebenarnya tidak wujud dan pada masa yang sama beliau mendapat dukungan kepimpinan bahagian-bahagian dan akar umbi, ditambah lagi dalam keadaan yang amat ditekan oleh masa maka Shahidan terpaksa akur kepada ‘setting’ yang dibuat.
Bila dalam kedudukan itu tentu Shahidan dalam persimpangan sama ada harus bertanding di peringkat Parlimen atau DUN. Beliau juga perlu melihat pada calon yang ditunjukkan oleh kumpulan satu lagi iaitu Azmi Khalid atau calon ketiga Mat Isa Sabu, yang sudah bersara dan kini dijelmakan kembali.
“Jadi apa pilihan yang ada pada Shahidan? Adakah menerima nasib atau harus melihat kepentingan dan kestabilan UMNO dan masa depan negeri?” soal seorang pemimpin yang juga orang kuat Menteri Besar itu.
Kalau Shahidan ingin kecewa dan mengambil jalan mudah dengan meninggalkan kepimpinan negeri dan kemudian membiarkan Perlis menjadi tidak menentu, adalah sukar diterima oleh para penyokongnya. Akhirnya menurut cerita pemimpin Perlis itu lagi, “Kita mencapai konsensus Shahidan harus terima dicalonkan semula sebagai calon Tambun Tulang kerana masa depan UMNO dan negeri Perlis perlu diutamakan.
“Melepaskan kepimpinan negeri kepada orang yang tidak komited, yang tidak menyumbang apa-apa kepada negeri serta yang kehilangan tenaga dalam perjuangan adalah satu risiko yang lebih besar daripada melayan emosi dan juga harga diri.” Sumber: Utusan Online
Tinggalkan Jawapan