
“Kegilaan merebut kerusi membuatkan banyak pihak hilang akal dan keras kepala. Lupa nilai-nilai persaudaraan Islam antara mereka. Barangkali kerana hal yang seperti inilah, seorang tokoh Turki, Said Nursi menyebut: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik”. Saya pula berkata: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik ala jahiliah”. Sebab, Nabi s.a.w juga berpolitik tetapi politik untuk kemaslahatan umat manusia, bukan kepentingan diri.”( http://drmaza.com/?p=184)
Bila membaca artikel SS Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Negeri Perlis bertajuk Jangan Melampau Jika Bertelingkah, Itu Dibenci Allah tertera nama Said Nursi seorang tokoh dari Turki. Mungkin ramai yang tidak mengenal peribadi seorang tokoh besar ini. Namanya tidak segah Hasaan al Banna, Syed Qutb, Fathi Yakan (tapi mujurlah dia kurang terkenal kerana kalau tidak mungkin beliau akan senasib dengan mereka..dituduh aqidahnya tidak selamat!)
Pengenalan
Badi’uzzaman Sa’id Nursi telah dilahirkan di sebuah kampung bernama Nurs dalam mukim Isparit yang terletak dalam wilayah Bitlis, Anatolia Timur pada tahun 1873. Gurunya yang pertama ialah Mullah ‘Abdullah, iaitu abangnya sendiri. Sejak umur 9 tahun, beliau telah belajar di sebuah madrasah di Hizan. Sejak kanak-kanak lagi, beliau merupakan seorang pelajar yang amat bijak. Misalnya, dalam masa yang singkat, dia berjaya menguasai al-Qur’an, ilmu fiqh, falsafah, sejarah, ilmu alam dan teknik berpidato. Selain itu, dia mampu menghafaz al-Qur’an dan beberapa buah kamus Arab termasuk al-Muhit, Jami’ al-Jawami dan beberapa buah kitab tentang Ilmu Tauhid dan fiqh. Beliau dikenali sebagai seorang yang sangat keras kepala. Disebabkan sifat beliau itu beliau sering berdebat dengan ulama’-ulama dan seringkali beliau menang. Kebolehannya beliau mematahkan hujjah dan kebolehan beliau menguasai pelbagai ilmu menyebabkan beliau digelar ‘Badi’uzzaman’, yang bermaksud ‘Keunggulan Zaman’. Beliau juga telah berjaya menguasai ilmu-ilmu sains moden seperti fizik, ilmu kimia dan astronomi. Selain itu beliau juga tidak lupa menelaah buku-buku sejarah, falsafah, matematik dan sebagainya.
Cadangan Penubuhan Universiti di Turki
Pada suatu hari, ketika Sa’id Nursi membaca akhbar beliau terbaca kenyataan William Gladstone, Setiausaha British bagi Tanah-tanah Jajahan yang berbunyi, “Selagi orang-orang Islam memiliki buku ini (yang dimaksudkan al-Qur’an), kita tidak akan berjaya menguasai mereka. Sama ada kita mesti mengambil al-Qur’an itu daripada mereka atau berusaha untuk mengikiskan kecintaan mereka terhadapnya.” Beliau yang begitu terkejut dengan keyataan tersebut telah bertindak segera dan akhirnya terhasilah karya beliau yang agung Risala-i Nur, yang ditulisnya hinggalah ke akhir hayatnya. Beliau kemudiannya di Van telah berusaha menubuhkan Madrasah al-Zahrah yang diinspirasikan dari Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau juga bercadang mendirikan sebuah universiti di Turki. Menurut rancangan asal, univeristi tersebut apabila terdiri akan mengajar tiga bahasa, iaitu bahasa Arab, bahasa Turki dan bahasa Kurdi, dengan bahasa Arab sebagai bahasa dan pengantar utama. Beliau juga berharap akan dapat menyatupadukan antara dua kumpulan yang sering bercakar-cakaran, iaitu Ahlul Madrasah (pelajar-pelajar agama) dan Ahlul Tekke (para pengikut tariqat). Agak malang, usaha beliau untuk mendirikan universiti itu tidak mendapat sokongan dari pihak pemerintah. Namun itu semua tidak mematahkan semangatnya. Beliau telah pergi ke Istanbul, sebanyak dua kali, iaitu pada 1896 dan 1907. Namun usaha tersebut juga mengecewakan. Pada lawatannya yang kedua pula, Sa’id Nursi berkesempatan untuk bertemu dengan Sultan ‘Abdul Hamid II (1876 – 1908). Dalam perbualannya beliau telah mencadangkan penubuhan sebuah universiti dan mengkritik pemerintahan Sultan. Akibatnya beliau dihadapkan ke mahkamah tentera. Dalam perbicaraan beliau mempertahankan pendapatnya dan menyebabkan beliau dikatakan kurang siuman. Namun demikian, doktor yang memeriksanya telah melaporkan sekiranya Badi’uzzaman itu gila, maka tiada lagi orang yang siuman di seluruh dunia ini. Atas alasan ini, beliau akhirnya telah dibebaskan.
Pada Perang Dunia I, beliau kembali semula ke Istanbul untuk mendapatkan sokongan daripada pihak Sultan mengenai projek universitinya. 19,000 lira telah dikhaskan di tapak universiti telah ditetapkan di sekitar pantai Teluk Van, Anatolia Timur. Namun cita-cita itu terbengkalai apabila perang meletus. Beliau kembali ke Anatolia Timur untuk memimpin sekumpulan tentera sukarela di kawasan Caucasus, iaitu kini di selatan Rusia, dan juga di Anatolia timur. Beliau dan kumpulannya terpaksa berhadapan dengan tentera Rusia. Dalam kesibukan berperang beliau sempat menulis tafsir yang pertama, iaitu tafsir Surah al-Fatihah dan sebahagian awal Surah al-Baqarah. Beliau ditangkap dan di tahan oleh tentera Rusia. Ketika ditahan beliau enggan tunduk kepada General Nicholas Nicolavich, pemimpin tentera Rusia di kawasan Kaukasia yang datang datang memeriksa kem tahanan. Akibatnya, beliau telah disoal oleh Nicolavich sendiri. Apabila ditanya, ia menjawab “ Ya, aku tahu engkau ialah Nicholas Nicolavich. Itu bukanlah penting. Aku ialah seorang Islam. Aku mengira bahawa seorang Muslim adalah lebih mulia daripada seorang kafir. Aku menyembah hanya Allah. Aku tidak memuliakan engkau,” Disebabkan itu, beliau telah dijatuhi hukuman bunuh. Beliau telah memohon untuk bersolat dua rakaat sebelum menemui ajal. General Nicolavich melihat keikhlasan beliau dalam beragama berasa kagum dan terus memaafkannya serta membatalkan hukuman mati tersebut. Beliau akhirnya berjaya melepaskan diri setelah ditahan selama dua tahun setengah.
Saat Pemergian
Pada awal tahun 1960, Sa’id Nursi telah berpindah ke Urfa dan mengajar di sana. Tetapi, malang sekali, belum sempat 3 bulan ia di sana datang pula arahan dari Ankara agar beliau dipindahkan kembali ke Isparta. Semasa persediaan sedang dibuat untuk perpindahannya , Sa’id Nursi jatuh sakit. Melihat keadaan ini, Ketua Polis Urfa merasa kasihan dan mengizinkan Sa’id Nursi untuk berehat. Dia menghembuskan nafasnya yang terakhir di sana. Beliau kembali ke rahmatullah pada 24 Mac, 1960, ketika umurnya 87 tahun.
Penutup
Demikianlah perjuangan panjang seorang pejuang yang tidak mengenal penat dan lelah. Walaupun beliau kerap kali ditahan namun melalui Risalah i-Nur, mesej Islam yang diperjuangkannya terus tersebar.Ada dikalangan anak muridnya yang terlibat dalam politik seperti Salamat Partisi yang dipimpin oleh Necmettin Erbakan dan kemudiannya diganti pula dengan Refah Partisi (Parti Kebajikan) yang ditubuh oleh Erbakan. Sebahagian yang lain pula memilih jalan untuk memajukan dakwah Islam dengan memilih untuk bergerak dalam kerja-kerja kebajikan. Pertubuhan tersebut yang bernama Jama’ah Zaman yang terkenal dengan rangkaian sekolah dan maktab, ma’had tahfiz, stesen televisyen serta akhbarnya sendiri. Demikianlah mata rantai perjuangan yang sambung menyambung walaupun Sa’id Nursi sudah tiada lagi.
Tinggalkan Jawapan