pondok penanti, Pulau Pinang

Aku mungkin bukan pelajar pondok. Tapi pondok dan aku, aku rasakan begitu dekat. Mungkin kerana sudah terbiasa mengajar di SAR dan berkenalan dengan ramai guru pondok menyebabkan aku begitu bersungguh mengkajinya. Seorang demi seorang tokoh pondok aku cuba perhatikan sumbangan mereka dari Tok Kenali, Tok Selehor, Tok Khurasan kemudian Syeikh Osman Jalaluddin, Tuan Hussin Kedah, Tuan Tabal, Tuan Minal hinggalah kepada pengasas pertama konsep madrasah Tuan Guru Hj Salleh Masri. Saat itulah aku mula berjinak-jinak dengan pondok, mengenal penat lelahnya, kuat semangatnya, kukuh persaudaraannya sekalipun mungkin ada yang aku sendiri tidak bersetuju dengan beberapa pekara mengenai sistem pondok… tapi itu bukanlah alasan paling kukuh untuk aku membencinya. Tidak seperti sesetengah orang yang mantan pondok tapi paling membenci pondok!

Siapa berani menafikan sumbangan besar pondok? buka setiap lembaran sejarah, dari perkembangan Islam sampai ke perkembangan pendidikan nama dan jasa serta sumbangan paling besar membawa Islam adalah pondok. Jangan cakap besar kerana jasa anda air kaki “pondok’ pun tak sampai! Jika ada yang tak tahu menghargainya, oh tidak mengapa pondok sememangnya kau sentiasa tidak dipandang tinggi oleh orang yang berfikiran rendah!

Antara dua darjat!

Soal kenapa pondok tidak maju, mengikut perkembangan, pengurusan yang lemah itu semua adalah teknikal. Soal yang paling penting sejauh mana anda ikhlas membantunya? Saya bersyukur kerana saya dipertemukan dengan pondok tika pondok mengalami pelbagai tekanan, penafian bantuan per kapita (termasuklah SAR), penghinaan dari pelbagai sudut, tapi pondok masih lagi kukuh. Tika tahun 2006 berdegar-degar kisah SABK timbul. Topik paling panas di kalangan guru SAR. Dari berbelas SAR di Pulau Pinang kini tinggal 4 sahaja yang masih kekal dengan hak milik rakyat. Aku rasakan apa yangterungkap dalam sajak “Suara Dari Dinding Madrasah” karya Penyair Rakyat (mungkin bukan gelaran rasmi seperti SN, tapi aku rasa gelar yang mungkin sesuai) amat menyentuh seluruh isi makna pondok. Aku bawakan apa yang terungkap itu.

 Suara Dari Dinding Madrasah

Aku tidak marah kau mencekau dinding madrasah,
Mencungkil atau mengganti langsir lebih berbunga,
Anak-anak memang merindui iklim penuh bermakna,
Tidak juga kubantah kau simini retak lantai rumah,
Memolekkan sekeliling dan mempercantik taman seada,
Anak-anak amat memerlukan kebijaksanaan orang tua,
Tapi, kau merangsang mereka mengenepi rehal,
Mengganti muqaddam dengan kamus barat yang tebal,
Memuja dunia dan mereputkan kesetiaan sebangsa;
Sanubari anak telah dicerobohi sedemikian lukanya.

Aku tidak pun membantah madrasah memiripi pejabat,
Atau dijemur sejadah pada sidaian yang lebih kuat,
Asalkan sejemaah kita masih setia menghadapi kiblat,
Selamat ke matlamat syadu membahagiakan rakyat,
Dan bertambah teguh iman sesihat dunia akhirat.
Tapi, menggelincirkan tapak, menggoyahi hati nurani,
Kebal mendindingi penyonglap, pendedahnya dihukumi,
Tidak’kan kurela otak dan hati begitu berbalah,
Apalagi pesanan semanisnya hanya dalam pura-pura.
Memang kecewaku sebaik begitu mulanya kau bersuara.

Aku impi jujur kau serahi muqaddam dan sejadah,
Menghadiah selautan pasir dan segunung batu bata,
Bersama khalayak dapatlah kita perbanyak madrasah,
Kemudiannya berkhutbah tentang bahagia lara ummah,
Pernah terjajah, merdeka, tergugat, kini terdera,
Aku ingin kita sentiasa menghargai sekolah agama,
Berfikir dan berazam selari meluhuri suci aqidah.
Apa yang kupinta demi lesterinya sanubari Islami,
Memelihara madrasah dan Jawi yang mula dilupai-
Tidakkah begitu wajarnya laku bakti penganut suci?

A.Samad Said. (Kredit kepada:http://mudin001.wordpress.com/2003/10/11/suara-dari-dinding-madrasah/)

Untuk mendengar Penyair Rakyat berpuisi sajak ini sila tonton

Advertisement